Foto dari wikimediaTunku,
Saya masih ingat masa itu. Umur saya belum pun masuk 10 tahun. Cikgu kelas saya di Sekolah Kebangsaan Paloh masuk ke kelas mengumumkan ada rombongan sekolah ke Kuala Lumpur, Pahang, Melaka dan Pulau Pinang dengan bayaran $80. Empat negeri. Dalam keempat-empat itu, saya hanya pernah sampai ke Kuala Lumpur pada ketika itu. Apa lagi, "inilah peluang!" detik hati saya. Berhari-hari juga saya memujuk Mak untuk membenarkan saya pergi. Akhirnya, Mak dan Ayah benarkan.
Masanya tiba. Cikgu maklumkan pada kami yang megikut rombongan, di Pulau Pinang nanti, ada sesi makan malam di kediaman Tunku Abdul Rahman. Masa itu, tak banyak yang saya tahu mengenai Tunku. Tapi saya tahu, Tunkulah orang yang ada dalam gambar laungan MERDEKA itu. Gambar Tunku ada di dalam buku teks 'Alam dan Manusia'. Orang panggil Tunku Bapa Kemerdekaan tapi ketika itu saya tak pasti apa itu merdeka.
Jujur saya katakan, saya tak ingat apa perasaan saya berjumpa Tunku, saya tak ingat apa saya katakan semasa saya bersalam dengan Tunku, tapi saya ingat rupa Tunku malam itu. Ada perkara yang saya lebih ingat, saya ingat ada kepala harimau dan kulitnya terdampar di ruang tamu, saya ingat ada sepasang gading besar di satu laluan (pada umur 9 tahun, semua itu lebih lekat dalam memori saya), saya juga ingat saya tak sukakan lauk kari Penang yang dihidang pada malam itu kerana berlainan sekali dengan masakan mak (tanpa saya ketahui lebih 10 tahun selepas itu saya akhirnya biasa makan dan bercakap macam orang Penang).
Tunku, semasa di sekolah menengah barulah saya belajar Sejarah Malaysia dengan lebih jelas, itupun sekadar mengikut sukatan buku teks. Kalau penulisnya berkata benar, itulah yang saya percaya, kalau penulisnya buat cerita dongeng, tertipulah saya masa itu. Namun ketika itu barulah saya terfikir, alangkah baiknya kalau saya masih berpeluang untuk bercakap dengan Tunku, berbicara tentang sejarah negara, bertanyakan pengalaman dan pengajaran dari Tunku. Tapi ketika itu, Tunku sudah dijemput pulang oleh Yang Esa.
Tunku, pada Ulangtahun ke-50 Kemerdekaan negara kita ini, saya ucapkan terima kasih pada Tunku dan semua pejuang kemerdekaan yang lain, tak kiralah sama ada nama mereka tak pernah masuk buku sejarah ataupun tidak. Saya pasti ada pejuang yang tidak pernah dikenali umum.
Tunku, saya dan teman-teman berkumpul malam tadi. Hanya bacaan AlFatihah, Yasin dan doa yang mampu kami hulurkan untuk semua pejuang kemerdekaan dan juga semua arwah yang pernah mencurah bakti pada negara. Disaat mengaminkan doa, saya teringatkan Tunku. Mungkin kerana hanya Tunku saja tokoh kemerdekaan yang pernah saya temui.
Kami mewarisi negara ini dari generasi yang lepas, dan kami tahu, masih banyak yang kami perlu lakukan sebelum meninggalkannya pada generasi akan datang.
Selamat Hari Merdeka ke-50! Sejahteralah Malaysiaku. Post Merdeka tahun sudah di sini dan di sana.